Friday, October 22, 2010

CIRI - CIRI PERBANDARAN TAMADUN ROM










SOALAN :



“ Masyarakat Rom terkenal kerana kebolehan mereka membina bandar-bandar terancang”. Berdasarkan penyataan ini, huraikan ciri-ciri perbandaran dalam tamadun Rom.



Jawapan :






Bandar memainkan peranan yang penting dalam perkembangan sesuatu tamadun. Istilah bandar merujuk kepada suatu kawasan yang dihuni oleh ramai penduduk dan sebahagian besarnya boleh membaca dan menulis serta terlibat dalam kegiatan perdagangan. Perbandaran dalam tamadun Rom merupakan perbandaran yang terkenal kerana kebolehan masyarakatnya membina bandar-bandar terancang yang lengkap dengan pelbagai kemudahan. Bandar-bandar di Rom dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti rumah ibadat, teater, sarkas dan juga colleseum. Falsafah hidup masyarakat Rom yang menekankan aspek praktikal mempengaruhi perbandaran dalam tamadun Rom malah dalam pembinaan bandar, masyarakat Rom amat menitikberatkan utiliti iaitu kegunaan.



Perkembangan bandar didorong oleh penubuhan Majlis Perbandaran. Majlis Perbandaran ini ditubuhkan sekitar abad kedua masihi. Majlis Perbandaran memainkan peranan yang penting dalam perkembangan bandar malah pentadbirannya dijalankan tanpa sebarang campur tangan daripada kerajaan pusat. Ini membuktikan Majlis Perbandaran merupakan badan pentadbir yang bebas daripada sebarang campur tangan daripada mana-mana pihak. Oleh itu, kemunculan Majlis Perbandaran membawa kemajuan dan keselesaan hidup kepada masyarakat di bandar.






Bandar-bandar di Rom juga dibina secara terancang dan dijaga dengan rapi. Bandar-bandar ini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan awam. Antara kemudahan awam yang disediakan ialah pejabat, dewan orang ramai, panggung, colleseum,perpustakaan malah terdapat juga ampiteater. Bandar-bandar ini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan untuk memenuhi sifat praktikal masyarakat Rom. Di dalam bandar-bandar Rom juga mempunyai bangunan-bangunan agung. Antara bangunan agung dan ciri-ciri keistimewaan adalah seperti Colleseum dan Pantheon. Colleseum ialah sebuah panggung terbuka dan berbentuk bulat yang dibina pada tahun 80 M. Cirri istimewanya ialah ia berbentuk melengkung dan dapat memuatkan 50 000 orang penonton. Pantheon pula ialah sebuah kuil yang berbentuk bulat yang dibina pada tahun 2 M.




Ciri perbandaran ketiga ialah ciri-ciri kemewahan. Bandar-bandar ini dinaugi oleh golongan kelas menengah yang sanggup berbelanja untuk menambahkan lagi kecantikan dan imej bandar. Sebagai contoh, Marcus Ulpius Carminus dari Aphrodisa menderma lebih kurang 150 000 dinar untuk meningkatkan imej bandar. Antara ciri-ciri kemewahan yang terdapat di bandar ialah teater, forum dan istana. Di samping itu, pintu gerbang yang dihias dengan pelbagai ukiran, patung dan monumen juga didirikan. Ciri kemewahan ini jelas dilihat di Pompei iaitu bandar yang terpenting di Rom. Bandar ini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti sistem pemanas, rumah ibadat, kedai, pintu gerbang, mahkamah dan perpustakaan. Menjelang tahun 80 M, bandar ini didiami 50 000 orang penduduk.




Bandar-bandar di Rom juga dilengkapi dengan jaringan jalan raya yang lurus, lebar, bersih dan berturap. Pembinaan jalan raya memudahkan komunikasi antara kerajaan pusat dengan bandar-bandar di provinsi. Jalan-jalan ini digunakan untuk tujuan perdagangan, kurier dan pergerakan askar. Deretan tiang didirikan di sepanjang jalan berturap bagi menberi perlindungan daripada panas cahaya matahari dan hujan. Jalan-jalan ini digunakan untuk menghantar utusan ke seluruh empayar dengan menggunakan kereta kuda. Terdapat lebih kurang 20 batang jalan besar yang menyambungkan seluruh empayar dengan Rom untuk semua aktiviti kehidupan.selain itu, terdapat juga jambatan sebagai alternatif kedua. Ini jelas terbukti apabila terdapat 2000 jambatan di seluruh Itali dan 10 daripadanya terdapat di Rom.



Kemudahan sistem bekalan air juga menjadi satu ciri penting dalam kerajaan Rom. Bandar-bandar ini dilengkapi dengan sistem bekalan air yang terbaik di dunia. Bekalan air diperolehi daripada saluran bawah tanah. Di Rom terdapat dua “aquaduets” sebagai punca bekalan air. Salah satunya ialah Aqua Marcia yang membekalkan satu juta liter air sejam ke seluruh empayar Rom. Air-air ini juga diperolehi daripada 14 saliran dan akan disalurkan ke rumah-rumah kediaman melalui paip air sepanjang 165km untuk memenuhi keperluan harian penduduk Rom. Dengan adanya saluran air yang teratur dan sistematik, penduduk dapat memperolehi bekalan air yang secukupnya pada zaman aman mahupun zaman peperangan.



Selain itu, bandar-bandar di Rom juga dilengkapi dengan sistem pembentungan yang teratur. Bandar-bandar ini dilengkapi dengan saluran najis yang baik. Sebagai contoh, saliran najis terbesar di Rom disambungkan ke Sungai Tiber. Saluran najis juga terdapat di Gaul dan Britain.




Kesimpulanya, masyarakat Rom memberikan sumbangan besar dalam pembinaan bandar-bandar terancang. Bandar-bandar ini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan untuk memenuhi keperluan dan keselesaan harian penduduk. Kemudahan-kemudahan ini menunjukkan penduduk di empayar Rom hidup dengan penuh kemewahan dan keselesaan. Mereka menikmati kehidupan awam peribadi yang cukup selesa setanding dengan kehidupan zaman moden. Jelas disini, perkembangan bandar merupakan satu elemen penting perkembangan sesuatu tamadun. Bandar Rom telah menjadi pengukur kepada perkembangan bandar dalam tamadun awal yang indah hingga hari ini.

No comments:

Post a Comment